Tuesday, April 29, 2008

Tidak perlu maklum keluarga jika peluk Islam

Tuesday, April 29, 2008
Oleh Sazarina Shahrim (Berita Harian 29/04/2008)

KUALA LUMPUR: Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil ke-18 sebulat suara berpendapat tidak perlu bagi seseorang yang ingin memeluk Islam memaklumkan hasratnya itu kepada keluarga terlebih dulu.

Persidangan tiga hari di Seremban yang berakhir kelmarin itu, memutuskan tiada nas mensyaratkan supaya pemakluman kepada keluarga dibuat sebelum seseorang itu memeluk Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, dalam satu kenyataan semalam, berkata persidangan itu juga memutuskan peruntukan undang-undang sedia ada mengenai kemasukan Islam serta perkara berkaitan dengannya sudah mencukupi dan ia perlu diteruskan.


"Ahli persidangan berpendapat supaya perkara pemakluman ini diserahkan kepada kebijaksanaan orang yang ingin memeluk agama Islam itu sendiri.

"Bagaimanapun, kaedah pendaftaran, penjagaan dan pengajaran mualaf perlu digubal dengan mantap dan berkesan," katanya yang mempengerusikan persidangan itu.

Persidangan yang disertai Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Mufti Negeri, Ketua Hakim Syarie Negeri serta Pengarah Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri itu diadakan bagi membincangkan mengenai cadangan mewajibkan orang bukan Islam yang ingin memeluk Islam memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai status agama mereka.

Cadangan itu dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 10 April lalu.


Perdana Menteri menjelaskan cadangan untuk memperkenalkan peraturan baru itu bertujuan mengelak berbangkit masalah apabila mereka yang memeluk Islam meninggal dunia kelak.

Abdullah dilaporkan berkata, dengan adanya peraturan baru itu, orang bukan Islam yang memeluk Islam perlu mempunyai dokumen yang menunjukkan keluarganya dimaklumkan mengenai agama barunya.

Wan Mohamad bagaimanapun berkata, selepas dibincangkan secara terperinci, persidangan itu berpendapat tiada keperluan untuk melaksanakan cadangan berkenaan.

"Berdasarkan hukum syarak juga, kewajipan dan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang tidak memeluk Islam tidak terhenti meskipun seseorang itu sudah memeluk Islam," katanya.


KOMENTAR Psyga:

Pada pendapat saya, desakan yang dibuat oleh MCA berkaitan dengan pengisytiharan seseorang individu yang ingin memeluk Islam adalah agak keterlaluan. Sekiranya, seseorang individu ingin memeluk apa yeng penting bagi dia adalah satu mekanisme untuk melindungi dia daripada ancaman kaum keluarganya.

Saya mempunyai pengalaman ketika menjadi Pengerusi Jawatankuasa Saudara Baru ketika belajar di UTM dahulu. Ketika, ada seorang gadis berbangsa Cina ingin memeluk Islam, dia telah tersilap memberitahu rakan-rakannya. Lantas, rakan-rakannya memberitahu ibu bapanya tentang perkara berkenaan.

Ibu bapanya telah datang bertemu saya dan seorang Ustaz PPIPS untuk berbincang tentang perkara berkenaan. Selepas beberapa ketika kami berbincang, kedua ibu bapanya mengambil keputusan untuk memberhentikan anaknya daripada pengajian di UTM.

Selepas itu, saya pergi ke Pejabat Jabatan Agama Islam Johor untuk membincangkan tentang perkara berkenaan. Saya bertanyakan kepada seorang pegawai di situ tentang mekanisme untuk menyelamatkan akidah seorang Muslimah yang cuba ditukarkan agamanya kembali oleh ahli keluarganya. Namun jawapan yang saya terima amat mengecewakan. Beliau hanya menjawab bahawa jabatan agama Islam tidak ada kuasa untuk menghalang seseorang daripada murtad.

Nah, apakah perasaan anda sekiranya seseorang saudara seagama anda dipaksa menukarkan agama yang dijanjikan Allah balasan syurga kepada agama lain yang tidak diperakui oleh Allah.. Di mana dosa syirik adalah dosa yang terlalu berat. Manusia yang bertemu Allah dalam keadaan syirik akan dijatuhkan hukuman neraka...Na'uzubiLLAH...

Oleh kerana itu, saya memohon kepada pihak berkuasa untuk memikirkan satu mekanisme untuk menyelamatkan akidah saudara-saudara seagama kita daripada gejala murtad yang semakin berleluasa sekarang....



0 comments:

 
Psyga © 2008. Design by Pocket